Thursday, March 6, 2014

Browse Manual » Wiring » » » » » » » » Haramkan Terus Bot Pukat Tunda – CAP

Haramkan Terus Bot Pukat Tunda – CAP


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa langkah menguatkuasakan pengharaman penggunaan pukat tunda bersaiz 38mm tidak akan memberi impak besar dalam menyelamatkan spesies marin dan benih ikan daripada ancaman kepupusan.

Presidennya, S.M.Mohamed Idris sebaliknya mendakwa, kerajaan perlu mengharamkan terus penggunaan bot pukat tunda sekiranya benar-benar mahu mencapai hasrat tersebut.

“Kami tidak mahu hanya saiz mata pukat tunda 38mm ke bawah saja diharamkan penggunaannya tetapi kerajaan mesti mengharamkan penggunaan bot pukat tunda dan menghentikan pengeluaran lesen kepada semua pengusaha bot tersebut di negara ini.

“Sebuah bot pukat tunda yang beroperasi bukan saja memerangkap dan membunuh lebih 60 peratus anak ikan berbagai jenis di perairan negara ini tetapi juga mencemarkan dasar laut dan kawasan pantai serta merosakkan terumbu karang yang menjadi tempat ikan membiak,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Media pada 1 September lalu melaporkan kerajaan akan menguatkuasakan penggunaan pukat tunda yang lubang jaringnya melebihi 38mm mulai 1 Nov ini bagi menyelamatkan benih ikan laut daripada pupus.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata, penguatkuasaan itu mengikut Akta Perikanan 1985 dalam usaha memulihara sumber marin di perairan negara ini.

Mengulas lanjut, S.M.Mohamed mendakwa, kegiatan pencerobohan bot pukat tunda di kawasan Zon A, lima batu nautika dari pantai yang gagal dikawal oleh pihak berkuasa sejak 40 tahun lalu turut menyebabkan lebih 50,000 nelayan pantai terjejas sumber pendapatan.

Dakwanya, nelayan pantai mengadu kepada CAP bahawa pendapatan mereka merosot mencecah 70 peratus setiap kali turun ke laut dan kadang-kadang pulang dengan tangan kosong akibat pencerobohan bot pukat tunda.

“Malah ramai juga yang mengalami kerugian kerana pukat mereka musnah dilanggar oleh bot pukat tunda tersebut,” dakwanya.

Beliau turut mendakwa aktiviti bot pukat tunda menyebabkan kira-kira 150 spesies hidupan laut yang menjadi sumber tangkapan nelayan di negara ini diancam kepupusan.

Dakwanya, keadaan menjadi lebih buruk kerana terdapat pengusaha bot pukat tunda mengubahsuai pukat tunda mereka menjadi pukat buaya yang lebih mengancam sumber perikanan.

“Mengikut laporan Perikanan Dunia (World Fish), bekalan ikan di perairan Malaysia menurun antara 80 hingga 90 peratus akibat penggunaan pukat tunda,” dakwanya lagi. 

No comments:

Post a Comment